Asrama bertaraf hotel tiga bintang
KUALA LUMPUR 23 Mac — Felda akan mempunyai asrama elit setaraf dengan hotel tiga bintang yang pertama di negara ini apabila Asrama Semai Bakti Felda di Kuantan, Pahang siap dibaik pulih tidak lama lagi, kata Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Katanya, apabila siap nanti asrama itu, yang mampu memuatkan 400 pelajar dalam satu-satu masa, mampu memberikan keselesaan tempat tinggal dan belajar kepada para penghuninya.
Kos untuk membaik pulih bangunan asrama yang terletak di muara Sungai Pahang itu adalah kira-kira RM30 juta.
“Felda juga berbangga asrama yang bermasalah itu kini menjadi asrama tercanggih yang lengkap dengan prasarana moden, malah tidak keterlaluan jika kita katakan ia setaraf dengan hotel tiga bintang,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung pertama Persatuan Alumni Asrama Felda Malaysia di sini, hari ini.
Felda mempunyai empat buah Asrama Semai Bakti, masing-masing di Datuk Keramat, Kuala Lumpur; Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang dan Johor Baharu di Johor.
Sejak penubuhan Asrama Semai Bakti pada 1975, 11,900 pelajar sudah mendapat manfaatnya.
Yusof berkata, sehingga kini kira-kira 40,000 anak Felda di seluruh negara sudah bergelar profesional seperti menjadi doktor pakar, peguam, ahli politik, pensyarah, pentadbir dan ahli korporat berjaya.
Kejayaan anak-anak Felda di bidang akedemik dan pekerjaan itu, kata beliau, membuktikan bahawa anak-anak tanah rancangan yang dulunya dianggap anak golongan kelas ketiga, juga mampu menjadi kumpulan elit sebenar jika diberi peluang sama rata dengan anak-anak orang kelas menengah.
“Bukan hanya sekolah berasrama penuh seperti MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) di Perak dan Kolej Tengku Kursiah di Negeri Sembilan sahaja dikenali sebagai sekolah dan asrama elit, Insya-Allah kita akan buktikan yang kumpulan elit sebenar mampu dicetuskan anak-anak Felda di sini (Asrama Semai Bakti),” tambahnya.
Ditanya mengenai kemungkinan Felda akan menaik taraf asramanya di Kelana Jaya sebagai sebuah kolej, Yusof berkata, asrama itu masih berfungsi seperti biasa di samping menjadi kolej persediaan bagi kursus kejururawatan dan Pusat Bahasa Inggeris bagi anak-anak Felda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita akan ada sebuah Kolej Kejururawatan Felda sendiri tidak lama lagi dan sebagai persediaan kita gunakan dulu asrama di Kelana Jaya sebagai kampus sementara untuk kursus Penjagaan Kesihatan bagi melayakkan bakal pelatih kejururawatan meneruskan kursus mereka nanti,” katanya.
Mengenai kelas Bahasa Inggeris, Yusof berkata, setiap sesi berlangsung selama tiga bulan dan ia bertujuan menyediakan pelajar terbabit untuk menjadi kumpulan penggerak utama kepada segala urusan Felda baik dalam mahupun di luar negara.
Yusof berkata, beliau amat berbangga kerana anak-anak Felda yang mengikuti kelas khas Bahasa Inggeris itu kini bukan sahaja mampu bercakap bahasa Inggeris malah juga boleh berkomunikasi dengan yakin menggunakan bahasa Inggeris.
“Felda boleh berbangga kerana orang dalam sendiri (anak-anak Felda) mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik di samping mengendalikan semua urusan termasuk perniagaan dalam mahupun di luar negara,” katanya sambil menambah bahawa Felda kini mempunyai rangkaian perniagaan di Toronto (Kanada) dan Boston (Amerika Syarikat) dan memerlukan komunikator berbahasa Inggeris sendiri. - Bernama
Sumber: Utusan Malaysia
Firdee: Bangga juga sbb pernah mendiami Asrama Semai Bakti (felda) Kelana Jaya. Pernah pelancong datang ke bahagian pentadbiran sbb nak sewa bilik (dia ingat hotel)
.
This entry was posted on Monday, March 24th, 2008 at 11:48 pm and is filed under Keratan Akhbar. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




firdee March 25th, 2008 at 8:47 pm
me2effa:
asrama ni khas utk anak² pegawai dan peneroka felda…tapi nak masuk dia bukan senang…nak kena test khas dulu…pmr kalo bawak 3A tak dapat teruskan ke tingkatan 4-5…